You are currently viewing KELULUNOMIC 22: MEMACU PERTUMBUHAN INDUSTRI KELULUT

KELULUNOMIC 22: MEMACU PERTUMBUHAN INDUSTRI KELULUT

Mampukah pertumbuhan Industri kelulut bertahan?
Menjadi lumrah untuk industri yang baru akan naik memuncak dan melalui fasa suram. Tengok gambar graf dalam posting ni. Antara yang pernah naik dan jatuh adalah industri penternakan lintah, cacing, kambing boer dan sehingga kini belum menunjukkan tanda untuk pulih. Mungkin akan ghaib selamanya. Aktiviti penanaman buah tin/fig dan musang king pula antara yang sedang meningkat dengan laju.

Kini industri kelulut melalui fasa kemuncak dengan pelaburan berterusan dan penglibatan ramai pihak. Malahan di Kelantan sahaja industri madu kelulut dan produk hiliran melibatkan kosmetik, pump, koloni, hive, training dan sebagainya mencecah puluhan juta ringgit. Jadi mungkinkah industri ini boleh jatuh? Andai ianya jatuh, apakah punca-puncanya?

Hakikatnya industri madu kelulut sangat berbeza dari industri madu sebelum ini kerana asas yang kukuh seperti: 

  1. Kelulut adalah ‘anak’ tempatan dan sesuai dengan persekitaran setempat.
  2. Penghasilan madu kelulut berkonsep lestari yang mana tuaian madu tidak membunuh koloni.
  3. Penerapan nilai etika untuk penghasilan madu berkualiti 
  4. Kebaikan dan khasiat madu yang terbukti secara saintifik.
  5. Pertumbuhan aktiviti pembiakbakaan dan implementasi piawaian dalam rantaian produk. 
  6. Penglibatan generasi muda dalam pembangunan produk dan pemodenan pembungkusan produk.

Walaubagaimanapun, permasalahan asas masih menghantui industri kelulut seperti:

  1. Kebergantungan sumber koloni dari hutan.
  2. Sesetengah penternak yang memandang mudah aspek kebersihan. 
  3. Ketiadaan pelarasan halatuju nasional, harga pasaran, pematuhan standard dan program khas nasional untuk memartabatkan industri kelulut. 
  4. Penembusan pasaran antarabangsa.
  5. Persepsi pengguna yang masih obses dengan madu luar negara.
  6. Ketiadaan usaha mempopularkan bee bread dan propolis. 

Dalam bahasa mudah, bila sesetengah penternak yang gagal menjaga kebersihan ladang, tidak memakai sarung tangan dan penutup mulut semasa tuaian dan ambil mudah dengan kebersihan madu dengan pengendalian madu dilantai. Akhirnya madu kurang berkualiti dan madu mereka tidak boleh digabungkan dengan rakan penternak lain. Jadi pengeluaran adalah banyak secara individu, tetapi tidak seragam untuk keluarkan hasil secara pukal bagi pasaran antarabangsa. Mereka akhirnya bersaing sesama sendiri dan menyebabkan kejatuhan harga yang menjadikan industri kelulut ini tidak mengutungkan.

Bilamana tidak untung, mulalah fasa pelaburan beralih ke bidang lain dan industri kelulut mula jatuh. Jadi, sekiranya kita ingin mengelakkan pelaburan ini tidak rugi, langkah-langkah penting seperti:

  1. Menyelaraskan SOP penternakan melalui langkah kerja yang disaran di dalam buku Malaysian Standard dan memohon pensijilan myGap (mohon dengan Jab Pertanian bermula pertengahan tahun ini).
  2. Lengkapkan produk dengan pensijilan halal, MesTi dan Authentic (KKM)
  3. Meningkatkan kerjasama sesama penternak melalui persatuan-persatuan negeri.
  4. Meneruskan inovasi-inovasi yang meningkatkan kelestarian lebah, kualiti madu, dan kepelbagaian sumber pendapatan.

Namun bagi orang Islam, petua yang paling penting, buatlah kerana Allah… Hanya madu asli sahaja benar-benar menjadi penawar. Menjual madu tiruan hanya beri keuntungan sehari dua, dan selepas tu akan hancur disumpah pengguna yang tertipu. 
Sekukuh-kukuh jenama madu manuka juga dicemari dengan campuran bahan asing bila mana tamak menguasai. Kini hanya madu kelulut sahaja diyakini asli dipasaran. 
Ingatlah, selagi madu kita Asli, Bersih dan Berkualiti, permintaan akan sentiasa ada dan InsyaAllah industri ini boleh bertahan dan akan terus bertumbuh. Raihlah berkat melalui penjualan madu kelulut asli kerana Allah.

Leave a Reply