You are currently viewing Bisnes Madu Raih Pendapatan

Bisnes Madu Raih Pendapatan

Potensi pasaran yang begitu baik menyuntik minat ramai pihak untuk terbabit dalam industri penternakan lebah untuk menghasilkan madu.

Namun menurut satu kajian oleh Universiti Malaya, sebanyak 77 peratus madu di muka bumi ini adalah tiruan.

Hal ini ekoran permintaan terhadap madu amat tinggi dan potensi untuk memperluaskan pasaran sangat cerah.

Oleh itu, bagi memenuhi permintaan orang ramai yang semakin meningkat, satu alternatif lain diperkenalkan iaitu penternakan lebah kelulut untuk menghasilkan madu.

Ini kerana madu yang dihasilkan serangga berkenaan mampu menjana pendapatan berganda jika diusahakan dengan cara betul.

Penyelidikan dilakukan mendapati setiap koloni mampu mengeluarkan sehingga dua kilogram madu kelulut yang dua kali ganda lebih berkhasiat.

Kemampuannya mengeluarkan madu juga bergantung kepada jumlah debunga diperoleh.

Walaupun begitu, menurut Pensyarah Jabatan Neurosains, Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) Dr. Mohd. Zulkifli Mustafa, di sebalik mengaut keuntungan daripada industri berkenaan, faktor kelestarian alam juga perlu dijaga dan tidak diabaikan.

Ini kerana menurutnya, fungsi utama lebah kelulut untuk proses pendebungaan juga amat baik untuk pokok dan hasil hutan kerana meningkatkan antara 20 hingga 40 peratus hasil dan kurang kerosakan pada buah-buahan.

Sebanyak lebih 600 spesies lebah kelulut di kenal pasti di seluruh dunia dan 32 spesies di Malaysia yang boleh ditemukan di batang-batang pokok di hutan.

Ekoran tidak mahu melihat kemusnahan alam akibat penerbangan pokok untuk dijadikan kaedah penternakan sarang lebah berkenaan, Mohd. Zulkifli terpanggil untuk mencipta satu kaedah penternakan dan reka bentuk sarang bagi pembiakan lebah tersebut.

Sebelum ini, kebanyakan pengusaha menternak di dalam kotak kayu.

Kaedah tersebut bagaimanapun akan memberi ancaman kepada alam sekitar dan sekiranya lebih banyak pokok ditebang,ia akan menyebabkan industri tidak boleh berkembang akibat sumber terhad.

Malah, melalui cara itu juga madu tidak dapat dituai secara bersih dan mengganggu telur serta ratu lebah kelulut untuk terus membiak.

Kaedah tuaian secara perah pula akan menyebabkan percampuran madu dan bahan lain menyebabkan madu yang dihasilkan tidak seragam.

Dalam merungkai permasalahan tersebut, Mohd. Zulkifli berjaya mencari satu resolusi dengan mencipta inovasi baharu sekali gus menjadi transformasi dalam penternakan lebah kelulut melalui Meliponiculture Using a Split-able Throne within Air-jacketed Palace For Amplification-Hive (Mustafa Hive).

Ciptaannya itu dikembangkan melalui colony duplicable hive system yang menggunakan singgahsana boleh laras sebagai bekas induk.

Hasilnya akan mempercepatkan pertumbuhan koloni melalui sistem induk tanpa gangguan semasa proses tuaian di dalam kotak madu.

Malah, mampu menghasilkan madu yang seragam melalui konsep satu lapisan (monolayer pots induction) di dalam kotak madu.

Tambahnya, walaupun ketika musim hujan ia tidak mengganggu proses ternakan lebah kerana serapan terhad pada dinding lapisan pertama sahaja.

“Sementara cahaya matahari pula akan berfungsi memanaskan dinding rumah lebah. Haba yang dialirkan keluar mempercepatkan penyejukan rumah lebah dan tidak seperti pembinaan rumah lebah biasa yang memanaskan dinding serta meningkatkan suhu di dalamnya,” katanya.

Dalam pada itu, Mustafa Hive ciptaannya itu juga amat mudah diselenggara oleh petani dan mudah dialihkan ke ladang bagi tujuan pendebungaan.

Jelas, ciptaan anak muda ini bukan sahaja mampu melestarikan alam sekitar malah mampu meningkatkan pendapatan petani sama ada dalam hasil tanaman atau penternakan lebah kelulut.

Leave a Reply